FelixEntertainmentDotCom


Zaedi Zolkafli
MYblog

(Zaedi Zolkafli is the founder of FelixEntertainmentDotCom and The P Ramlee Cyber Museum)


 

2 November 2006

Penyelia Masjid Mati Akibat Diskriminasi Oleh Doktor Pakar Di Pusat Rawatan Islam
Oleh Zaedi Zolkafli

Berikut adalah catatan tentang detik terakhir abang ipar saya yang meninggal dunia pada 21.10.2006. Pesakit telah cuba mendapatkan rawatan di Hospital Pusrawi (Pusat Rawatan Islam) di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Pesakit bernama Haji Mohd. Haromain bin Ghazali berumur 47 tahun. Bertugas sebagai siak (penyelia) di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar Baru, Kuala Lumpur. Selepas waktu bekerja beliau mengajar mengaji al-Quran kepada seramai 30 orang anak jiran yang tinggal sama di perumahan pangsa awam Sri Rampai. Pagi minggu pula beliau menguruskan kuliah subuh, kursus haji dan pelbagai aktiviti di masjid tempat beliau bekerja selama belasan tahun.

Awal Ramadhan yang lalu pesakit mula merasa kurang selera makan. Namun bertekad untuk berpuasa dan bekerja seperti biasa. Masuk minggu ketiga beliau telah kehilangan hampir 50% berat badan. Atas nasihat majikan, beliau melawat klinik panel untuk mendapatkan rawatan. Memandangkan keadaan serius dirujuk pula oleh doktor ke Hospital Pusrawi. Semestinya pesakit mengharapkan khidmat terbaik di hospital swasta yang kenakan bayaran. Pakar di pusat rawatan Islam ini yang ditemui ialah Dr. Abdul Malik Bin Jamal Buhari keturunan India Muslim.

* Khidmat Doktor pakar tidak berkualiti

Bagi sesiapa yang mengalami penurunan badan amat drastik doktor harus terlebih dahulu mengambil timbang berat badan pesakit. Kemudian dikira pula berapa banyak kehilangan daripada susut badan. Tindakan awal ialah menyembuh atau menstabilkan keadaan pesakit. Malangnya, Hospital Pusrawi gagal memberi rawatan segera dan tidak beri ubatan diperlukan kepada pesakit pada temu janji pertama (Sabtu 14.10.2006).

Sebaliknya doktor hanya ingin buat pelbagai pemeriksaan kerana umum sedia tahu ini sumber pendapatan besar kepada hospital swasta. Dalam keadaan pesakit bertambah kurus dan kurang pemakanan dia disuruh ambil ubat mencuci usus untuk colonscopy pada malam sebelum temu janji kedua (Selasa 17.10.2006). Pada hari tersebut doktor menambah lagi ubat pencuci usus secara berlebihan. Inilah yang menjadi pukulan kepada pesakit sehingga dapat ceret beret (diarrhea) yang berterusan. Tak mungkin terjadi begini jikalau doktor beri rawatan pulih semula kepada pesakit. Pesakit datang ke hospital kali ketiga pada Rabu 18.10.2006 untuk CT scan. Hari itu pesakit terpaksa menggunakan kerusi roda kerana keadaan bertambah buruk disebabkan kehilangan stamina. Namun tiada juga ubat diberikan kepada pesakit pada temu janji ketiga.

Dalam keadaan terdesak, keluarga pesakit buat temu janji keempat dengan Hospital Pusrawi pada hari yang berikut (Khamis 19.10.2006). Tetapi doktor enggan buat apa kerana menunggu HPE report yang kononnya hanya siap dalam masa dua minggu lagi. Walaupun pesakit bertambah serius doktor tidak menahannya di wad hospital. Sekiranya doktor terfikir pesakit yang ditaja oleh majikan "tidak mampu" bayar kos Hospital Pusrawi sepatutnya dia diberi pilihan pergi pusat rawatan lain termasuk hospital Kerajaan. Pesakit cuma diarah pulang ke rumah dan datang semula pada Selasa 31.10.2006, iaitu hari pertama doktor kembali bertugas selepas cuti panjang

Dalam kesemua empat kali temu janji tiada rawatan yang doktor berikan pesakit. Seakan tidak tahu keadaan pesakit semakin kritikal. Pesakit yang kena minta doktor beri ubat untuk bertahan selama menunggu temu janji dua minggu kemudian. Waktu ini pesakit memang perlu dimasukkan cecair ke badan sebagai jalan penyelamat. Sekali lagi doktor gagal mengambil tindakan sewajar. Sebaliknya pesakit diberi pelbagai ubat (hanya selepas didesak) mungkin agak terlambat. Ubatan ini pula kena diambil selepas makan sedangkan pesakit sejak awal kehilangan selera.

Ubatan yang diberi oleh farmasi Hospital Pusrawi hanya tertulis nama ubat di plastik. Tak ada informasi tentang kegunaan ubat. Keluarga pesakit tentu ingin tahu apa ubat yang diambil. Mesti rasa bimbang tentang kerasian ubat kepada si pesakit. Sungguh pun harga ubat melebihi RM200 cuma kerani pembagi ubat yang ada di farmasi. Tiada pharmacist on stand-by untuk bertanya. Terbukti ubat yang diberikan iaitu Buscopan tiada berkaitan dengan keadaan pesakit pada masa itu sebaliknya bertambah mudarat kerana melanggar syarat ditetapkan oleh pengeluar ubat.

 

 

 

* Doktor tidak peka terhadap pesakit kronik

Pesakit disyaki mengidap usus bengkak kerana ulcer atau tuberculosis. Pada temu janji kali keempat, doktor telah beritahu ahli keluarga bukan sakit barah usus. Tambah lagi pesakit tak pernah muntah sejak mula sakit. Andaikata penyakit ini benar serius kenapa ujian makmal ke atas tisu yang diambil memakan masa dua minggu? Bayangkan hospital swasta bergelar "pusat rawatan" mengambil masa begitu lama untuk menentukan nasib seseorang. Pesakit disuruh berehat di rumah sementara doktor dan kakitangan hospital "tutup kedai" selama sepuluh hari. Ketika pesakit menderita sakit kronik doktor pula mengambil cuti lama sambutan Deeparaya.

Temu janji keempat pada Khamis 19.10.2006 adalah yang terakhir. Di saat kecemasan pesakit perlukan ubat doktor meminta letter of guarantee bertarikh hari itu. Walaupun sudah diberikan dua surat pada hari semalam dan sebelumnya. Pukul 4.15 petang disuruh ahli keluarga bergegas dari hospital di Jalan Tun Razak ke Bangsar Baru untuk ambil surat terbaru. Mesti beri sebelum 5.30 petang kerana doktor mula bercuti esok selama 10 hari. Tentunya mustahil dengan kesesakan trafik orang keluar pejabat dalam bulan Ramadhan. Pesakit tidak diberi pilihan lain kecuali membayar harga ubat beratus ringgit secara tunai. Keluarga pesakit membantah kerana pesakit ditanggung oleh majikan yang telah mengeluarkan letter of guarantee sebelum ini.

Majikan si pesakit sempat hantar letter of guarantee yang ketiga melalui faks ke Hospital Pusrawi. Masyallah, apa salahnya doktor menulis dahulu prescription ubat sementara tunggu surat sampai? Hendak hantar prescription order ke farmasi hospital dalaman pun seolah nanti rugi. Lainlah kalau ubat sudah diambil tak terbayar. Entah ubat yang dijual kepada pesakit itu mujarab pun belum tentu lagi. Seumpama seorang pencuri memanggil orang lain sebagai pencuri.

Pesakit tak sempat ke hospital untuk temu janji kelima. Dia meninggal dunia di rumah pukul 11.30 pagi pada Sabtu 21.10.2006 iaitu kurang 48 jam selepas bertemu doktor. Sebab sebenar kematian ialah dehydration akibat pukulan ubat pencuci usus yang diberikan doktor sewaktu buat colonoscopy. Malam terakhir pesakit sudah ketandusan stamina sehingga terpaksa merangkak ke bilik air dalam keadaan ceret beret. Berapa jam sebelum kematian, otak pesakit kehilangan kuasa sehingga meracu dan hilang daya penglihatan. Ini adalah petanda yang ubat Buscopan diberikan kepada pesakit juga tidak mengikut amaran keselamatan daripada pengeluar ubat tersebut. Ketika menghembus nafas terakhir si isteri cuba menyuapkan bubur yang baru dimasak.

* Manupulasi takdir Tuhan untuk menutup kesalahan

HPE report yang dikeluarkan dua minggu kemudian menunjukkan pesakit hanya mempunyai "extensive inflammation of colon but no malignancy". Iaitu tiada kemudaratan hingga boleh membawa maut. Pesakit sudah tentu terselamat dalam kes biasa. Dari setiap sudut, pesakit telah dinafikan hak untuk mendapatkan rawatan berpatutan. Doktor juga gagal merujuk pesakit ke hospital Kerajaan atau memberi pilihan kepada keluarga pesakit untuk mendapatkan rawatan kecemasan di tempat lain. Kematian pesakit adalah tragedi malang amat terhina. Doktor bersifat tidak cekap, tamak haloba dan tak hormat kepada pesakit hingga kepada ‘criminal negligence’.

Memang kita sebagai umat Islam harus redha tentang ajal. Hospital Pusrawi tak usah nak mengajar keluarga pesakit tentang Qada' dan Qadar. Yang Allah telah tentukan adalah masa dan sebab kematian seseorang. Pesakit meninggal dunia kerana sikap doktor tak bertanggungjawab. Seperti mana seorang ditakdirkan mati kena tembak. Si pembunuh masih tetap berdosa.

Jangan guna takdir Tuhan untuk menutup kejahatan kepada pesakit. Hina sekali layanan diberikan kepada seorang kakitangan masjid yang ingin mendapatkan rawatan di pusat rawatan Islam. Keluarga Allahyarham Haromain ada bukti bahawa doktor berlaku salah dan liable for inter alia: medical negligence, incompetence and professional misconduct.

 

 

 

* Pusrawi lebih teruk dari hospital Yahudi

Cuba bayang wajah seorang Melayu beragama Islam dan memakai kopiah terduduk dalam keadaan tenat di kerusi roda. Doktor tidak beri keutamaan kepada pesakit sebagai pelanggan. Sebuah pusat rawatan Islam yang tidak beri penghormatan sesama agama. Seolah Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq antara satunya yang ternama di Wilayah Persekutuan ini tidak termampu menanggung kakitangannya di Hospital Pusrawi yang teramat mahal.

Pesakit diminta bawa letter of guarantee setiap kali ke Hospital Pusrawi. Pendek kata kalau sepuluh kali datang hospital kena beri juga sepuluh surat. Setiap surat mesti ada tarikh hari temu janji, baru boleh diterima. Bukankah memadai kalau cuma satu surat seperti lazimnya buat tempoh laku tertentu? Surat faks pula diterima tapi salinan yang asal mesti diberi selewatnya pagi esok. Doktor sungguh kerap minta letter of guarantee tapi tak pernah bagi satisfaction guarantee.

Seorang kakitangan syarikat milik kerajaan yang ditemui di Hospital Pusrawi turut mengaku terpaksa bawa dua letter of guarantee dalam sehari, satu untuk doktor pagi dan lagi diberikan doktor sebelah petang. Ternyata kelemahan sistem pembayaran pusat di situ. Banyak masa majikan dan keluarga pesakit terbuang akibat kerakusan pihak hospital. Sudah melampaui sifat tamak haloba tidak ada dalam ajaran Islam.

Doktor tidak merasa insaf di atas kematian pesakit. Sebaliknya dia mengeluarkan bil hospital kepada majikan si pesakit pada hari pertama masuk bekerja. Pihak hospital juga menelefon majikan berkenaan bil hospital yang mahal. Tidak langsung menghubungi isteri si pesakit yang ingin tahu tentang sebab kematian suaminya. Anehnya, hampir kesemua bil hospital sebanyak RM2,415.50 adalah bagi kos pemeriksaan ke atas pesakit yang hanya dapat tahu keputusannya sepuluh hari selepas dia meninggal dunia!

Hospital Pusrawi sebenarnya menjalankan perubatan komersil seperti hospital orang Yahudi di barat. Cuma bezanya, doktor yang berkhidmat di hospital swasta milik Yahudi lebih berkelayakan, cekap, telus dan profesional. Tidak heran kalau orang kehormat tempatan termasuk pak menteri dan ahli korporat Melayu lebih cenderung memilih hospital di luar negara daripada pusat rawatan Islam di Malaysia.

* Guna nama "Islam" sebagai slogan perniagaan

Apa bukti Hospital Pusrawi sebagai "pusat perubatan Islam"? Adakah kesemua doktor kelulusan universiti al-Azhar atau universiti Islam lain? Contohnya, Dr. Malik cuma ada ijazah perubatan biasa. Tiada petanda yang dia sudah bergelar "Haji". Jangan kata pakai kopiah, kitab surah al-Yasin pun tak nampak dalam pejabat. Entah apa dia punya Islamic credentials. Sebenarnya, doktor di sana cuma penyewa ruang komersil. Tak ada kelebihan dari pengamal perubatan bukan Islam di tempat lain.

Pergi melawat sendiri ke Hospital Pusrawi di Jalan Tun Razak. Tiada hiasan ayat al-Quran di ruang lobi. Tempat menunggu juga tak disediakan majalah agama. Pintu masuk bilik tandas tiada tulisan jawi. Kalau kita ke kaunter pertanyaan, pendaftaran dan farmasi tidak disambut kakitangan hospital dengan "Assalammualaikum". Pendek kata, tiada langsung unsur keIslaman baik rohani dan jasmani.

Pemerintah perlu mengadakan undang-undang untuk menghalang pusat perubatan tempatan daripada menyalah guna perkataan "Islam" bagi tujuan komersil. Mesti ada kriteria berdasarkan hukum syariah yang ditetapkan oleh Jabatan Islam Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Seperti mana kawalan terhadap pengunaan logo "Halal" oleh pihak yang tak bertanggung jawab. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna harus mengena hukuman keras keatas Hospital Pusrawi kerana pengiklanan palsu.

* Alfatihah

Allahyarham Haromain meninggalkan seorang isteri berumur 45 tahun dan empat orang anak perempuan. Isterinya yang tidak berkerja kini harus menyara seorang anak sulung 8 tahun, yang kedua pengidap autisma berumur 6 tahun, dan dua anak kembar belum sampai umur dua tahun. Ketika ibu tunggal ini merasa kesedihan selang dua hari sebelum Syawal, anak-anak kecil itu tidak memahami kehilangan bapa mereka.

Semoga Allah mencucuri rahmat kepada Allahyarham Mohd. Haromain dan keluarga beliau yang ditinggalkan buat selamanya.

 

Related article
Family Claimed Hospital Pusrawi Practices Medical Discrimination Against Poor Masjid Employee
Doctor gets only six month suspension by MMC for causing loss of life.

 

More...
Zaedi Zolkafli
MYblog


Back to
FelixEntertainmentDotCom | The P Ramlee Cyber Museum