FelixEntertainmentDotCom


Zaedi Zolkafli
MYblog

(Zaedi Zolkafli is the founder of FelixEntertainmentDotCom and The P Ramlee Cyber Museum)


 

28 Januari 2016

Bahagian 3
PUISI YANG ANTI-SERIUS SEBAGAI FENOMENA SOSIAL
Oleh Zaedi Zolkafli

     Puisi yang halus bukan bahasa yang gila dan berjela sehingga susah faham erti maksudnya. Yang cantik tidak semestinya ilham yang terlalu kompleks buat minda. Yang bermakna bukan sekadar suara retorik si penyair kepada pembaca.
     Di milenia baru ini, puisi kontemporari tidak harus terbatas kepada isu-isu patriotik, idolisasi atau mengampu hanya untuk mendapatkan endorsement sang politikus. Lebih lagi bermakna jika bersifat peribadi tentang persekitaran hidup, alam dan masa. Untuk dikongsi bersama.
     Trend bagi masa hadapan yang harus dipupuk dan dirangsang ialah kecenderungan kepada puisi yang anti-serius dan sekadar bermain-main. Ini lebih menarik kerana dalam bentuk yang menghalalkan ‘kebebasan’ itulah kita dapat melihat fenomena sosial yang saling berkomunikasi dalam bentuk puisi.

– Petikan prakata buku Angin Semalam – sebuah jurnal puisi

 

* * *

Istilah “anti-serius” diambil daripada komentari sebuah laman puisi Indonesia beberapa masa yang lalu. Ia bermaksud puisi-puisi yang temanya diungkap secara bersantai. Menjadikan kesusasteraan puisi bersifat mesra sosial sebagai medium komunikasi antara penyair dan pembacanya. Maka dibayangkan akan terjadi timbal balas si pembaca dengan penulis dan berikutnya. Misalnya, pengkongsian bait-bait cinta antara sepasang kekasih dan gurauan senda sesama handai. Sungguh menarik apabila seorang itu menyampaikan persoalan remeh mahupun kompleks dengan gaya mempersonakan.

sayang dekat mana
jenuhku merayau
keluar masuk pintu
bayangpun tiada?

Bait seperti di atas ialah contoh puisi yang anti-serius tentang pengalaman menunggu kekasih yang belum tiba. Sekali pandang macam pantun empat kerat tetapi tiada rangkap pembayang seperti dalam pantun. Baris puisi juga tidak menggunakan rima hujung sebaliknya bentuk rima moden yang longgar atau secara kebetulan. Persoalan yang diberikan penyair dalam puisi pendek sebegini mengundang jawapan daripada pembaca.

Perlu dijelaskan bahawa puisi yang anti-serius bukan sinonim dengan karya murahan atau sengaja diada-adakan. Pendekatannya serupa dengan budaya menjual-beli pantun spontan dalam tradisional Melayu. Secara umumnya, puisi yang anti-serius mengangkat sesuatu persoalan atau pengalaman peribadi dalam konteks lebih ringan daripada karya lain yang menurut konvensyen. Tema yang disentuh seperti dunia alamiah bersangkut dengan persekitaran hidup, alam dan masa ataupun luahan kata tentang dunia insani untuk dikongsi bersama.

 

 

 

Saya amat teruja dengan karya seni yang fleksibel kerana memang cenderung untuk eksperimen berbagai genre kesusasteraan samada penulisan, penglihatan atau pembunyian. Kita akan menganalisis tiga macam puisi yang anti-serius dalam rencana ini. Perlu dinyatakan terdahulu puisi-puisi ini adalah daripada kumpulan puisi yang dipenakan masa lampau berkisarkan situasi semasa di Amerika Syarikat era 1980-an. Merakamkan psikologi lewat usia remaja – cinta, seksual, sosial dan peribadi – dalam puisi di antara humor dan intelek. Seni itu rasa.

 

* * *

Carbondale

carbondale ini
tiada punya apa
indah khabar dari rupa
jauh dari syurga.

di sana-sini
     mahasiswa
     tak berbaju,
     mahasiswi
     tanpa coli.
     handicapped
     dengan kerusi roda
     turut bersama.

di jalanraya
     basikal berlumba-lumba
     ke sana ke mari,
     kereta besar garang
     tapi sudah usang.

suka atau duka
ini tempatku
buat seketika …

(Carbondale, Illinois, U.S.A.)

Summer 1980

 

 

 

 

Sebuah puisi yang anti-serius diberi judul “Carbondale” iaitu nama pekan kampus di Amerika Syarikat. Southern Illinois University di Carbondale dahulunya dikenali sebagai “kampung Melayu”. Ini kerana ramai pelajar Malaysia yang berada di sekitar Midwestern Amerika dalam tahun 1980-an berkunjung ke sana untuk berkenal mesra dengan rakan negara asal. Di sebalik kedudukannya yang popular sebenarnya tempat itu hampa seperti makna dalam puisi.

Penyair memakai imejan musim panas untuk tema puisi ini. Perhatikan baris-baris ayat ”mahasiswa – tak berbaju”, “mahasiswi – tanpa coli”, “handicapped – dengan kerusi roda” menceritakan pengalaman culture shock kali pertama di Amerika Syarikat. Teknik bentuk lihatan digunakan bagi baris-baris ayat tadi untuk menguatkan apa yang diperlihatkan oleh pembaca. Walaupun tiada bangunan pencakar langit dan gemerlapan Hollywood seperti dibayangkan sebelum tiba namun penyair harus menerima keadaan yang ada.

 

* * *

Mahasiswa

ini hidup mahasiswa
yang sepanjang harinya
ke sini dan ke sana
     makmal
     khutubkhanah
     academic hall
     dan lecture theater.

di tanganmu fail-fail buruk
berisi nota-nota comot,
bermain dengan mata pena
mendagu di muka meja.

rihatmu
     di student center,
gemuruhmu
     di dewan periksa.

Spring 1981

 

Puisi berikutnya ialah “Mahasiswa” tentang rutin harian seorang pelajar universiti. Seperti puisi sebelum ini, penyair sengaja menggunakan perkataan bahasa Inggeris “academic hall”, “lecture theater” dan “student center” dengan huruf italik untuk memberi imejan berada di negara Barat. Perhatikan baris-baris ayat puisi dibentuk dengan rima yang longgar atau tidak tepat. Penyair menceritakan pengalaman lelah menjadi mahasiswa secara bersantai. Tema puisi ini jauh berbeza daripada karya berjudul sama Muhammad Haji Salleh (1973:61) tentang persoalan yang kompleks dipikul oleh pergerakan mahasiswa Amerika Syarikat era 1970-an.

 

 

 

Sakit

sakit itu letih
sakit itu pedih
sakit itu seksa
sakit itu rasa.

berbilang malam sudah
tubuh ini sakit
peluh yang melekit.
badan ini uzur
pemikiran kusut luntur
siang yang tiada subur.
tangan ini
tak terlawan akan keletihan,
jarinya tak terdaya
menyampaikan idea …

Summer 1980

 

Puisi “Sakit” antara yang terawal dipenakan selepas tiba di Amerika Syarikat. Ketika itu penyair telah jatuh sakit akibat perubahan cuaca yang ekstrem. Bait pertama dibina daripada baris-baris harmoni yang memberikan bermacam makna tentang sakit. Penyair menggunakan rima hujung bagi baris-baris ayat iaitu “letih” dengan “pedih” dan “seksa” dengan “rasa”. Bait yang berikutnya pula ada gabungan rima tepat iaitu “sakit” dengan “melekit” dan separuh tepat seperti “uzur”, “luntur”, “subur” di barisan ayat. Dalam keadaan uzur, penyair mengeluh tak terdaya untuk berkarya kerana minda dan fizikalnya yang lemah.

“Sakit” sebagai contoh puisi yang anti-serius kerana temanya yang ringan. Puisi ini mendapat inspirasi daripada “Senyum” (Muhammad, 1973:18) yang petikan baitnya seperti berikut:

rasa itu alam
rasa itu gelisah
rasa itu darah
rasa itu taram

 

 

* * *

Dalam zaman pendemokrasian ruang rakyat termasuk tuntutan corak kesenian dan budaya yang saksama, kesusasteraan puisi harus terbuka kepada yang bukan penyair. Sama dengan lagu-lagu “hit” sekarang ini boleh dinyanyikan karaoke oleh sesiapa sahaja. Puisi yang anti-serius dan sekadar bermain-main tidak dikongkong gaya norma arus perdana. Menjadikan satu fenomena sosial apabila anak muda saling berkongsi pengalaman peribadi dengan bait-bait puisi yang ringan. Ini memupuk masyarakat berbudaya (cultured society) di mana cara seseorang itu berinteraksi dalam komunikasi tulisan mempunyai unsur estetik dan dapat disampaikan dengan makna tersirat.

Puisi-puisi dibincangkan dalam rencana ini dipetik daripada Angin Semalam – sebuah jurnal puisi yang boleh dilayari di www.felix-entertainment.com/angin-semalam.htm

 

Artikel puisi
Bhg. 1 | Bhg. 2 | Bhg. 3

 

More...
Zaedi Zolkafli
MYblog


Back to
FelixEntertainmentDotCom | The P Ramlee Cyber Museum