FelixEntertainmentDotCom


Zaedi Zolkafli
MYblog

(Zaedi Zolkafli is the founder of FelixEntertainmentDotCom and The P Ramlee Cyber Museum)


 

28 Januari 2016

Bahagian 2
PUISI CINTA TAK PERLU MERENGEK
Oleh Zaedi Zolkafli

Semasa berada di pusat percetakan digital untuk bikin sampel buku terbaharu yang diberi judul Angin Semalam – sebuah jurnal puisi, saya dapat berkenalan dengan seorang gadis lepasan sekolah yang meminta supaya dibacakan puisi-puisi Melayu karyanya dalam blog. Ketika ada kelapangan saya pun melayari lelaman puisinya tanpa meninggalkan sebarang komen. Memadai di sini bahawa saya tidak sedikitpun teruja dengan baris-baris puisi cinta yang merengek.

Kesusasteraan genre puisi menjadi medium pilihan ramai untuk melepaskan perasaan tentang suatu pengalaman dan persoalan. Kebanyakannya orang muda yang mahu eksperimen ayat-ayat romantis sebagai puisi. Terdapat bermacam tema puisi cinta datang dari jiwa penyair yang sedang bergelora. Lazimnya, puisi cinta bersifat negatif tentang pengalaman pahit membawa kepada kesedihan, kekecewaan, kehilangan, kehancuran, sebagainya diikuti persoalan seperti kekesalan, kemarahan dan keredhaan sebagai contoh. Terkadang baris-baris ayat yang diungkap begitu klise dan tersangat emosional hinggakan hilang inti intelektual buat pembaca. Puisi begini yang maknanya terlalu nyata semacam bait-bait lagu cinta popular.

Beberapa masa yang lalu terdapat sebuah filem dari Indonesia bertema puisi, Ada Apa Dengan Cinta? (2001) tentang hubungan dua orang remaja. Ini filem indie Melayu yang hebat, diselubungi naratif tersangat cemerlang dari segi senimatografi, dialog dan lakonan. Berkisarkan pasang surut jalinan watak utama di mana keduanya adalah penyair terserlah di sekolah mereka. Buku dan bait-bait penyair teragung Chairil Anwar menjadi pencentus cinta pasangan ini. Menariknya, tema puisi-puisi filem itu tentang persoalan persekitaran yang agak matang dan tiada elemen cinta apalagi yang merengek buat jalan cerita.

Sebagai seorang penyair muda saya lebih produktif menghasilkan puisi tentang persoalan peribadi semasa juga pengalaman cinta lewat remaja. Inspirasi masa lampau datang daripada kumpulan puisi Muhammad Haji Salleh dalam Sajak-Sajak Pendatang (Dewan Bahasa dan Pustaka 1973). Saya terikut dengan gaya ekspresi keras untuk menyampaikan persoalan dalam puisinya. Muhammad ada menulis pengalaman hubungannya dengan seseorang namun kalaupun ini dikategorikan puisi-puisi cinta tidak pula menyentuh jiwarasa si penyair. Sebaliknya yang ditonjolkan hanyalah persoalan tentang situasi, persekitaran dan dilema dalam perhubungan. Ini membuat saya lagi cenderung eksperimen tema cinta yang jarang dipenakan. Kita akan menganalisis bermacam pendekatan tentang persoalan cinta dalam tiga buah puisi di rencana ini.

 

* * *

Puisi cinta yang pertama berjudul “Bunga Itu” tentang jalinan dua insan yang berbeza jarak kiblat mereka. Penyair menggunakan metafora “bunga” sebagai subjek puisinya. Perhatikan perkataan “suci”, “bersih”, malaikat”, “akhirat” sebagai imejan memperlihatkan sifat mulianya subjek itu. Kemudian diikuti barisan ayat membawa makna bahawa bunga itu tidak boleh dimilikinya lagi kerana ada jurang perbezaan sekarang. Di bait penutup, penyair mengungkit imejan itu kembali menjadikan baris-baris persoalan yang keras tentang isu kerohanian. Baginya ini suatu pengalaman tidak adil yang tak dapat diterima.

 

 

 

Bunga Itu

bunga itu
terlalu suci
untuk dicomotkan
terlalu bersih
untuk dikotorkan.

ia hanya buat
mereka yang berperi malaikat
dekat pada akhirat.

tapi,
manusia lainnya itu comotkah?
isi di hati mereka itu kotor?
tiada pernah kenal akan malaikat?
dan takkan sampai di akhirat?

Spring 1981

 

* * *

Musim Dingin

aku seakan tidak percaya
musim panas terik ini
akan berakhir
di sini dan begini jua.

di luar sana
daun maple yang dulunya hijau
kini mulai kering
kan gugur dibelai angin.

esok,
bila salji turun
dedaun dan ranting pohon
sesama beku diperdingin.

pohon-pohon itu
hanya bisa akur
kepada pertukaran musim.
lusa,
bila tiba musim bunga
benihnya kan berputik semula?

Fall 1980

 

 

 

Puisi berjudul “Musim Dingin” bermotifkan empat musim buat kisah cinta yang mengharungi putaran masa. Pengalaman berada di Amerika Syarikat memudahkan penyair terjemahkan masa yang baru berakhir dengan “musim panas”, masa kini – “musim luruh”, esok – “musim sejuk” dan lusa – “musim bunga”. Penyair menggunakan pepohon dengan dedaun, ranting dan bunganya sebagai simbol jalinan cinta. Perhatikan metafora pohon dengan perkataan ‘hijau”, “kering”, “gugur”, “beku” kemudian diikuti pula persoalannya, “bila tiba musim bunga – benihnya kan berputik semula?” di penyimpul puisi. Jelas, imejan dunia alamiah dalam puisi ini membawa ketaksaan makna atau ambigius kepada pembaca yang berfikir.

Inspirasi buat “Musim Dingin” datang daripada karya pendek “Sudah Musim Gugur” (Muhammad, 1973:40) yang berbunyi seperti berikut:

sudah musim gugur sekarang
daun maple yang merah berkarat
di tepi-tepi
mengingatkan aku
kepada kasihmu,
manis dan muda.
datang musimnya
kita akan matangkannya
ke akar diri.

 

* * *

Jalan Baru

I.   selamat tinggal sayangku
     terlalu lama aku menanti mu
           hari,
                 minggu,
                       bulan,
                             tahun berlalu ...
     jalanmu kelihatan tanpa penghujung
     berputar di pusingan yang sama,
     lekak-lekuk, batu dan pasirmu
     tak pernah mengasihani penat kakiku.
     kukira tiada lagi gunanya
     tercegat di tempat yang sama,
     mengharap akan petunjukmu
     hanya melanjutkan usiaku.

II.  selamat datang kasih baru
     membuka jalan buatku.
     tanganmu itu,
     tak pernah keberatan
     memimpinku ke depan.
     senang sekali kurasakan
     menjelajah tanah yang rata,
     di sini tiada keraguan
     kerana kita sama tujuan.
     mengikut arah yang baru
     lebih manfaat untukku.

Winter 1981

 

 

 

Puisi seterusnya, “Jalan Baru” mengandungi dua kisah jalinan cinta yang berbeza. Penyair memakai imejan jalan untuk menggambarkan liku-liku pengalaman cintanya. Bait yang pertama ditujukan kepada kekasihnya masa sekarang. Penggunaan bentuk lihatan bagi baris perkataan “hari”, “minggu”, ‘bulan”, “tahun berlalu ...” bertujuan untuk menguatkan ayat “terlalu lama aku menanti mu” dengan teknik lebih efektif. Puisi ini dipenuhi metafora dua macam perjalanan seperti baris ayat “lekak-lekuk, batu dan pasirmu – tak pernah mengasihani penat kakiku” yang berlainan dengan “senang sekali kurasakan – menjelajah tanah yang rata”.

Penyair menjadikan dua pengalaman sebagai kontras dalam puisinya. Bait yang kedua ditujukan kepada kasih yang baru (ataupun ini hanya fantasi penyair?). Perhatikan baris-baris ayat bertentang makna seperti “selamat tinggal sayangku” dengan “selamat datang kasih baru” hingga ke ayat penyimpul “hanya melanjutkan usiaku” dengan “lebih manfaat untukku”, masing-masing bait pertama dan kedua. Persoalan puisi ini tentang dua perjalanan cinta tersangat berbeza dan pilihan yang lebih baik : “tercegat di tempat yang sama” ataupun “mengikut arah yang baru”.

“Jalan Baru” mendapat inspirasi daripada puisi “Selamat Tinggal” (Muhammad, 1973:53) di mana persoalan yang asal kini digubah kepada pengalaman penyair itu sendiri. Perhatikan tema “Jalan Baru” yang mirip dengan petikan bait “Selamat Tinggal” seperti berikut:

selamat tinggal
kekasih yang tak bisa memberi
percaya atau memahami.
jauh sudah jalannya
kita berdua,
sampai di sini belum apa-apa,
tanganku ini lebih baik padaku saja
tak memberi atau menerima.

 

* * *

Sejak berzaman lagi sudah ada bermacam tema puisi cinta. Kebanyakan puisi Melayu moden merakamkan pengalaman peribadi penyair yang selalunya berjiwa sentimental, terkadang emosional dan bersifat negatif. Ini terjadi jikalau perkara yang ditulis menyentuh perasaan dalaman bukannya persoalan lebih besar tentang situasi dan dilema dihadapi seseorang. Lagi menarik apabila penyair itu dapat berkongsi suatu pengalaman cinta yang intens dengan membawakan persoalan segar agak kompleks. Penyair tidak harus melayan cinta murahan sebaliknya mengangkat tema lebih tinggi dengan memperlihatkan elemen yang unik secara positif.

Puisi-puisi dibincangkan dalam rencana ini dipetik daripada Angin Semalam – sebuah jurnal puisi yang boleh dilayari di www.felix-entertainment.com/angin-semalam.htm

 

Artikel puisi
Bhg. 1 | Bhg. 2 | Bhg. 3

 

More...
Zaedi Zolkafli
MYblog


Back to
FelixEntertainmentDotCom | The P Ramlee Cyber Museum