FelixEntertainmentDotCom


Zaedi Zolkafli
MYblog

(Zaedi Zolkafli is the founder of FelixEntertainmentDotCom and The P Ramlee Cyber Museum)


 

28 Januari 2016

Bahagian 1
PUISI BERAHI. KARYA REALITI ATAU FANTASI?
Oleh Zaedi Zolkafli

Seks adalah isu yang tabu bagi masyarakat Melayu. Perkara semulajadi ini selalunya dianggap sebagai hubungan sulit antara kelamin yang hanya dibicarakan dalam kelambu. Apapun berunsur seksual dikaburi pemikiran kotor malah sering dihubungkan secara negatif dengan perilaku tak bermoral dan melampaui ajaran agama. Sifat konservatif keterlaluan juga mendatangkan polemik berterusan tentang keperluan memperkenalkan pendidikan seks di sekolah.

Ini jauh berbeza dengan pendekatan di Barat yang lebih bersifat terbuka dan realistik. Penggiat seni dan karyawan dari Eropah tidak segan bikin visual separa bogel untuk tonjolkan keindahan alam (natural beauty) dalam hasil yang digarapkan. Dalam filem Hollywood bergenre romantis selalunya memaparkan pasangan sedang berduaan atas katil sebagai naratif ada jalinan intim dalam cerita. Sebuah seni lama oleh pelukis terkenal Van Gogh yang menggambarkan susuk wanita berbogel berbentuk abstrak baru-baru ini dilelong dengan nilai termahal berjuta dollar Amerika.

Seiringan pencetusan revolusi seks di Amerika Syarikat era 1960-an, filem drama Melayu terutama dari Indonesia mengeksploitasi tema seksual sebagai pelaris komersil. P. Ramlee yang merupakan karyawan teragung di pelosok Nusantara Melayu juga menyerapkan unsur-unsur seks dalam filem Dr. Rushdi (1970) dan disusuli dengan Gelora (1970). Dr. Rushdi sebuah karya paling kontroversi oleh P. Ramlee boleh dianggap sebagai filem yang terhebat dihasilkannya. Menonjolkan P. Ramlee di waktu kemuncaknya, penampilan fizikal yang segak, lakonan bijak dengan bermacam unsur Hollywood - ‘adultery’, ‘betrayal’, ‘deceit’, ‘murder’ dan ‘conflict’. Kata P. Ramlee kepada pengkritik, "Tetapi seks yang saya jalinkan dalam filem ini adalah seks yang dihormati, seks yang tidak liar dan yang tidak sama sekali terkeluar dari batasan pemikiran orang waras." Namun jarang sekali karya sebagus ini dapat tayang di TV tempatan kerana ada babak berbaur seks.

Hingga penghujung 1970-an, budaya kuning Barat masih tempias ke laman kesusasteraan Melayu. Majalah-majalah popular terbitan tempatan masa itu menghidangkan cerpen liar sebagai tarikan pembeli. Fiksyen ghairah berkisarkan hubungan intim terlarang atau kerebahan mangsa jelita yang sasaran menjadi bahan kreatif. Lazimnya, kisah ini terbantut sebelum sampai klimaks dengan metafora “berdayung di lautan”, “berlabuhnya sauh” dan sebagainya membajak imaginasi pembaca.

Puisi Melayu bertema seksual jarang sekali diterbitkan. Kalaupun ada mungkin dalam makalah lama di Indonesia atau bahan baru terbitan indie. Ini kerana imejan dalam puisi berunsur berahi dibentuk oleh baris-baris bait yang singkat menjadikan karyanya lebih rumit diolah daripada cerpen liar. Sesuatu metafora seksual digunakan simbol yang abstrak namun halus dilengkapi frasa lagi tersirat. Selain mengatur imejan yang estetik perlu juga disajikan kepada pembaca inti puisi yang diselubungi kemungkinan makna agar tidak tampak terlanjur.

Saya antara segelintir orang yang menghasilkan puisi Melayu bertema seksual. Perlu dinyatakan terdahulu kumpulan puisi berunsur berahi ini dipenakan pada masa lampau ketika usia lewat remaja. Sebagai mahasiswa muda di Amerika Syarikat era 1980-an maka saya lebih cenderung eksperimen bermacam tema puisi berkaitan situasi semasa. Kita akan menganalisis tiga buah puisi tema seksual dalam rencana ini.

 

* * *

 

 

 

Pelukis

jika aku seorang pelukis
akan kulukis dirimu
di papan hidupku.
tapi aku pelukis abstrak
tak gemar akan kecantikan
jika cuma jadikan perhiasan.

aku akan melukis,
     jantungmu di hatiku
     agar kau dapat merasai
     cinta yang berahi.
     lekukmu di dadaku
     agar kau sama melepas
     syahwat yang gelora.
     lidahmu di bibirku
     agar kau tak membantah
     barang yang dipinta.
     kulitmu di tubuhku
     agar kau kan menyerah
     terowongmu yang merah.

kerana kau tidak tahu
aku tak bisa bertahan
hanya bertegang di pinggirmu
menelan air liur kempunan!

Spring 1983

 

Puisi yang pertama diberi judul “Pelukis”. Penyair menggunakan anatomi si kekasih dengan dirinya sebagai imejan dalam puisi melalui susunkata berpautan: “jantungmu – hatiku”, “lekukmu – dadaku”, “lidahmu – bibirku” dan “kulitmu – tubuhku”. Perhatikan perkataan ”jika aku”, “akan ku” dan “tapi aku” di bait terawal, kemudian diikuti pula ulangan ayat “agar kau (bikin sesuatu)” yang membawa makna ini hanyalah fantasi penyair.

Rata-rata pembaca puisi ini akan mudah percaya dan terperdaya dengan kalimah “terowongmu yang merah” bagaikan satu fakta saintifik. Jelas, penyerapan estetik dalam imejan puisi dapat memberi kesan kepada imaginasi pembaca tidak kurang sama dengan imejan berahi dalam sebuah cerpen liar. Di bait penutup, penyair mengungkit pengalaman realiti sebagai persoalan dalam puisi.

 

* * *

 

 

 

Peminta

engkau fikir
     yang kau ada
     jadi sendiri,
     yang aku hilang
     boleh ganti.
     yang kau dapat
     cuma percuma,
     yang aku beri
     tak berharga.
     yang kau terima
     tiada balas,
     yang kuserah
     tersangat murah.

engkau peminta,
mengambil yang berada
mendesak yang kasihan
mengharap yang ihsan
sudah sekian lama.

suatu masa nanti
aku akan datang
bagai penyamun malam
merompak mutiara indah
yang kau peram.

Spring 1982

 

Puisi “Peminta” ialah tentang femme fatale atau perempuan “pisau cukur” dalam peribahasa Melayu. Bait yang terawal dibina daripada baris-baris harmoni dengan ekspresi keras untuk menyatakan pengalaman marah kepada seorang. Penyair menggunakan susunkata berselang: “ada – hilang”, “dapat – beri”, “terima – serah” sebagai kontras. Kemudian diikuti bait yang memperlihatkan sifat buruk subjek itu. Untuk bait penyimpul pula penyair memasukkan fantasi yang nakal bagi bertindak balas dalam persoalan ini. Bait terakhir ini mendapat inspirasi daripada puisi “Kali Ini” oleh Muhammad Haji Salleh (1973:19) yang seperti berikut:

tapi akan datang masanya
dengan bahu marah ini
akan kupecahkan tembokmu
dan merompak
di negeri di belakang pintu

 

* * *

 

 

 

Pelayaran

malam begini
menunggu terbitnya pagi
kuberkhayal kendiri,
pipi porselin gebu
mata kristal mesra
dagu berkerut manja.
hilangmu panjang
batinku dahaga
susukmu yang tiada.
lama ku menanti
bibir comel merah
dan lidah basah.
kapan kita dapat
belayar lautan hanyut
kocokan ombak gelora
berdayung empat tangan
memaut bahtera terkapai
ke sampai tersadai.

malam begini
hingga suria kembali
hanya mainan mimpi.

Fall 1981

 

Karya berikutnya yang berjudul “Pelayaran” mengambil masa agak lama untuk siapkan. Ini kerana imejan bagi temanya berbentuk seksual tidak mudah disuaikan dengan simbol abstrak. Seperti dinyatakan pada awal, inti puisi begini harus diselubungi kemungkinan makna agar tidak tampak terlanjur. Justeru, penyair ambil pendekatan mencampurkan metafora seperti dalam cerpen liar terbitan 1970-an ke bahasa puisi sebagai teknik.

Perkataan “pipi porselin”, “mata kristal”, “dagu berkerut”, “bibir comel” digunakan bagi imejan wajah ayu kekasih. Penyair “berkhayal” dapat bertemu dengan orang yang dirindui. Ketika sebelum tertidur dia terbayang sebagai nahkoda kapal bersama kasihnya. Perhatikan rantaian metafora halus untuk aksi yang berahi iaitu “belayar lautan hanyut”, “kocokan ombak gelora”, “berdayung empat tangan”, “memaut bahtera terkapai”, “ke sampai tersadai”. Ternyata di penyimpul puisi ini hanya suatu lamunan.

Inspirasi buat “Pelayaran” datang daripada puisi “Di Malam Begini” (Muhammad, 1973:18) di mana persoalan yang asal kini dipesongkan kepada fantasi si penyair. Pembaca boleh bandingkan tema baru dalam “Pelayaran” dengan petikan daripada “Di Malam Begini” seperti berikut:

di malam begini

aku teringat padamu.
bibirmu yang tak pernah menafikan,
pipimu yang cepat panas dan iram,
lekuk paha dan dada,
dan suaramu yang selalu bermain-main
dengan kata-kata.
perpisahan ini terlalu lama
kerana kita masih muda
dan terlalu jauh untuk diduga.

 

* * *

Adalah malang sekali jikalau kesemua hasil seni berunsur seksual menjadi stagma dalam persekitaran yang konservatif. Filem Dr. Rushdi karya hebat P. Ramlee misalnya, tidak menonjolkan seks murahan sebaliknya memperlihatkan pelbagai lapisan inti yang sampai sekarang tiada tandingannya. Sememangnya keberanian seorang seniman mengangkat tema yang lebih tinggi perlu digalas dengan kebebasannya untuk berkarya secara jujur, tanpa kompromi tentang idea yang kompleks lagi mencabar buat tatapan para hadirin. Ini dapat mengubah corak budaya sebuah masyarakat di mana unsur sesuatu seni itu diolah ataupun terjemahkan secara kiasan dan berkesan mengikut kapasiti intelektual orang itu sendiri.

Puisi-puisi dibincangkan dalam rencana ini dipetik daripada Angin Semalam – sebuah jurnal puisi yang boleh dilayari di www.felix-entertainment.com/angin-semalam.htm

 

Artikel puisi
Bhg. 1 | Bhg. 2 | Bhg. 3

 

More...
Zaedi Zolkafli
MYblog


Back to
FelixEntertainmentDotCom | The P Ramlee Cyber Museum